Friday, May 10, 2019

Kisah Cinta (3) - Keputusan


Sekiranya para ulama’ meninggalkan biografi mereka, aku juga menulis tentang kisah diri dilaman sepi ini. Aku tahu tiada siapa yang peduli melainkan mereka yang sayang akan diriku.

Ku mulakan cerita.

Setelah sekian lama kembara mencari diri, ku dapati cinta Allah sahaja cinta yang hakiki. Setelah segala apa yang ku lalui, kepada Allah jua akan kembali.

Dalam hati aku hanya ada satu nama sahaja yang ingin ku jadikan sebagai suri hati setelah menjalani kehidupan selama 30 tahun. 

Rupanya takdir Allah amat indah. Saban waktu ku berdoa agar di matikan sebagai syuhada’ dan dilorongkan jalan menjadi seorang mujahid fi sabilillah.

Ayat-ayat cinta lantunan Syeikh Ramadhan di Masjid Al Rahim semasa solat tarawih pada tahun 1440 ini menyemarakkan kembali arah tuju kehidupan yang sebenar. Apalah sangat ujian yang ku hadapi? Bukankah setiap pejuang itu akan di uji? Siapa yang tidak di uji?

Semuanya menerima ujian yang bukan main hebatnya. Ada yang digergaji dari kepada sehingga terbelah dua. Difitnah sebagai perempuan yang keji. Dilemparkan najis. Dilontarkan dengan batu.

Dipermain-mainkan dan di perolok-olokkan. Pasangan suami isteri disula dengan begitu dahsyatnya dan pelbagai lagi sebahagian kisah-kisah yang amat menyayatkan hati.

Biarpun begitu, iman mereka tidak pernah tergugat. Tauhid mereka menjulang tinggi melangkau logik rasional. Penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah menyempurnakan ketaqwaan dalam diri masing-masing.

Dia saudara aku dalam agama yang perlu dihormati sebagaimana para muslimat yang perlu dimuliakan. Entah takdir apa yang mendatangi diriku, aku tetap berjuang untuk meraih keredhaan Allah Ta`ala.

Para ulama` mendidik kita tentang cinta. Cinta yang halal itu halal dan cinta yang haram itu haram.

Cinta yang halal di ikat tegas dengan syariat yang indah. Buahnya adalah barakah iaitu keberkatan.

Berkat itu akan menumbuhkan lagi pelbagai kebaikan yang menyerikan kehidupan apabila tiba waktunya nanti.
 
Aku sedar kali ini bahawa cinta yang sesungguhnya adalah cinta kepada Pencipta. Cinta yang tidak boleh ada duanya.

Hanya Dia sahaja yang berhak menjadi cinta yang paling utama. Tidak ada sekutu bagi cinta ini.

Cinta abadi inilah yang bertunas kepada cabang-cabang cinta lain bagi menguatkan akar cinta hakiki berkenaan.

Cinta kepada rasul, cinta kepada agama, cinta kepada keluarga dan semua cinta yang halal merupakan anugerah suci kepada setiap pencinta. Cinta kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah.

Hari ini hari Jumaat. Hari Isnin akan datang adalah tarikh lahirnya.

Tarikh bersejarah kerana tarikh itu berlaku suatu peristiwa yang besar di bumi Malaysia walaupun berbeza tahun di belakangnya.

16 September.

Ada hadiah istimewa untuk dirinya. Mushaf suci sebagai penyelamat dunia dan akhirat andainya beriman serta beramal dengan kalam Allah yang mulia itu.

Biarpun hati bergemuruh bimbang disalah tafsir, namun itu sahaja sebagai tanda bahawa aku benar-benar berharap agar dirinya dimasukkan ke dalam syurga Allah Ta`ala dan diselamatkan dari api neraka.

Itulah tanda kejayaan yang sebenarnya.

Doaku kini adalah supaya Allah meneguhkan jiwa ragaku untuk bersama pada mujahidin dan murabithun fi sabilillah.

Moga disucikan segala niat dan diikhlaskan seluruh amalan hanya semata-mata kerana Allah.

Keputusan ini satu ketetapan yang besar selama kehidupan aku. Keputusan ini telah membawa kepada pintu kehidupan yang lain iaitu kehidupan yang tiada masa lalu padanya. Kini agama, negara dan ummat ini menjadi kecintaanku.

Biarpun kadang-kadang terasa galau mengenang nasib diri seolah-olah tiada masa depan padanya, rupa-rupanya Allah sedang membukakan pintu-pintu syurga melalui cara yang amat tidak diduga sama sekali.

Begitulah hebatnya kuasa Allah ta`ala. Seorang insan yang terpuruk lesu kegersangan rohani, terpatah semangat dan lemah badan tidak terdaya kembali cergas bertenaga apabila dikehendaki-Nya.



Mohd Nor Al Hafidz Bin Mohd Hussin,
6 Ramadhan 1440.
11 Mei 2019.
1:32 AM



No comments:

Post a Comment

My Journey