Wednesday, May 8, 2019

Kisah Cinta (2)

Kisah cinta yang indah bagiku adalah saling berkasih sayang kerana Allah iaitu cinta membawa dekatnya kepada Allah Pemilik Segala Cinta.

Memang berat bagi aku untuk saling berinteraksi dalam keindahan puisi cinta selagi belum halal ikatannya. Cukup hubungan sekadarnya dan biarlah perasaan itu terjaga di sanubari yang suci.

Dulu aku pernah menulis - 'berhati-hati dengan perasaan kerana perasaan itu boleh merosakkan jiwa. Sekarang aku di uji dengan kata-kata itu. Allah mengirimkan naluri ini untuk menguji keikhlasan dan ketulusan aku kepada-Nya.

Pelbagai ilmu dan pengalaman dipelajari hari demi hari. Allah sentiasa menyantuni hamba-Nya dengan cara yang tidak terduga. Kasih sayang Allah itu amat meluas dan aku berserah diri kepada Allah Yang Maha Agung.

Bayangan para syuhada' sentiasa tergambar di pelupuk mata ini. Ketika aku melihat ke dada langit arah kanan, aku melihat bayangan Syeikh Ahmad Yassin, As Syahid Hassan Al Banna, Syeikh Salah Syuhada, Abdul Aziz Rantisi, Syeikh Izzuddin Al Qassam, Tok Guru Nik Aziz dan sejumlah 'pejuang yang telah pergi'.

Aku rindukan mereka!

Biarpun jauh beza antara aku dengan mereka, aku berserah diri kepada rahmat Allah yang amat mengasihani hamba-hambaNya.

Aku juga mula merindukan kekasih syurgawi yang diberi gelaran hurun `ain ataupun 'ainul mardhiyyah itu. Kekasih itulah pembakar semangat aku dalam beribadah kerana maharnya bidadari adalah pada pengorbanan seorang mujahidin. Wajahnya berseri, matanya bundar dan terselindung disebalik cadar kemuliaan dirinya.

Adakah aku layak untuk dirinya?

Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini dan masukkanlah kami ke dalam syurgaMu.

Jadikan setiap 'amal kami hanya untuk Engkau semata-mata. Selamatkan kami dari kesyirikan, kemunafikan, kekufuran, 'ujub, sum'ah dan riya' yang merosakkan akhirat kami.





No comments:

Post a Comment

My Journey